SIARAN MEDIA RASMI Pejabat TKM1 Pulau Pinang “Ulasan Solat Aidil Adha Tidak Patuhi SOP Di Luar Kawasan Surau Taman Pelangi” 22 Julai 2021 | Khamis | KOMTAR 1) Saya merujuk kepada insiden Solat Aidil Adha yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan MKN yang terjadi pada 20 Julai 2021 di luar kawasan Surau Taman Pelangi, Juru sepertimana yang ditular di dalam media persendirian dan portal berita. Juga saya merujuk kepada sidang media Ketua Polis Pulau Pinang pada 20 Julai 2021 dan juga laporan berita penahanan oleh Polis terhadap 49 orang yang disyaki terlibat untuk membantu siasatan. 2) Saya juga telah meminta laporan daripada pihak pengerusi kariah Taman Pelangi dan daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah SPT untuk mendapat penjelasan lanjut. 3) Setelah meneliti kronologi kes, didapati pihak kariah telah mematuhi SOP yang ditetapkan, di mana hanya 100 orang Jemaah (yang terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap) yang telah mendapat sekurang-kurangnya 1 dos vaksin dibenarkan untuk menunaikan Solat Aidil Adha pada pagi tersebut. 4) Pengerusi kariah juga didapati telah memberi 2 kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan, pertama pada malam raya dan kali kedua sebelum Solat Aidil Adha didirikan. Penekanan telah pun dibuat oleh pengerusi kariah untuk tidak membenarkan warga asing untuk menunaikan solat pada waktu itu. 5) Namun, sebagaimana yang telah dilaporkan sejumlah warga asing berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau dan mengikut Solat Aidil Adha yang sedang berlangsung. Ini jelas di luar kawalan pihak kariah, kerana pihak jawatankuasa kariah telah pun mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum Solat dimulakan. 6) Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas tindakan susulan penguatkuasaan undang-undang dengan pantas mengenalpasti dan menahan individu-individu yang sewenang-wenangnya melanggar SOP ini. Ini bertepatan dengan tindakan tegas kerajaan di dalam menangani ketidakpatuhan SOP di dalam usaha memerangi Covid-19 yang makin mengganas. 7) Walaubagaimanapun saya juga ingin menyampaikan rasa kurang senang orang ramai yang disampaikan kepada saya bila melihat imej tahanan reman kerana bersembahyang tetapi melanggar SOP telah dibawa dengan tidak memakai kasut dan digari. Adalah diharapkan pihak polis boleh melaksanakan sedikit budi bicara di dalam hal ini. Semoga insiden ini menjadi peringatan kepada semua, khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk terus sama-sama mengambil serius di dalam mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan kita bersama. Sekian, terima kasih. YB. DATO’ IR. HJ. AHMAD ZAKIYUDDIN BIN ABDUL RAHMAN Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINP