Hospital Islam Pulau Pinang

Hospital Islam Pulau Pinang lahir daripada aspirasi masyarakat Islam yang mengimpikan sebuah pusat perubatan moden yang mengutamakan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatannya. Sebagai sebuah hospital pakar swasta setinggi 15 tingkat, ia bukan sekadar menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi, tetapi juga berperanan sebagai institusi pemangkin kesejahteraan masyarakat, selari dengan wawasan Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan sosial dan memperluaskan akses kepada perkhidmatan berkualiti, Hospital Islam Pulau Pinang turut menyokong Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030). Pembangunan hospital ini bukan sahaja mengisi keperluan penjagaan kesihatan berlandaskan prinsip Islam, tetapi juga menjadi salah satu elemen penting dalam memperkasakan institusi ummah dan memperluaskan jaringan sokongan sosial serta ekonomi Islam.

Usaha ini merupakan satu pelaburan strategik dalam membina masa depan yang lebih sejahtera untuk masyarakat Islam di negeri ini. Dengan izin Allah, Hospital Islam Pulau Pinang akan menjadi pusat rawatan rujukan yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik, malah menjadi simbol kecemerlangan Islam dalam sektor kesihatan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan kemajuan ummah menjelang 2030.

Penang Islamic Rehabilitation Centre (PIRC)

Penang Islamic Rehabilitation Centre (PIRC) ditubuhkan sebagai langkah strategik Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dalam menyediakan perkhidmatan rehabilitasi bertaraf antarabangsa yang mengintegrasikan rawatan pemulihan perubatan dan vokasional. Beroperasi sebagai inisiatif awal sebelum pengoperasian Hospital Islam Pulau Pinang, pusat ini bukan sekadar menyediakan rawatan pemulihan berkualiti tinggi, tetapi juga berperanan sebagai persiapan ke arah pengurusan hospital dalam skala lebih besar.

Sebagai sebuah institusi yang menyokong Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, PIRC memperkukuh ekosistem pelancongan kesihatan Pulau Pinang, terutamanya dalam sektor perubatan pemulihan. Dengan sasaran menarik pesakit tempatan serta dari negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Singapura, dan Brunei, pusat ini bukan sahaja meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai destinasi rawatan berkualiti tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), PIRC memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada rawatan kesihatan berasaskan nilai Islam. Dengan sistem operasi berkonsepkan Mudharabah, pusat ini mengukuhkan prinsip perkongsian ekonomi Islam yang mampan, di mana 30% keuntungan diagihkan kepada YIPP sebagai operator dan 70% kepada MAINPP sebagai pemberi modal.

PIRC ini secara tidak langsung akan menjadi model pusat rehabilitasi Islam pertama yang menyediakan perkhidmatan pemulihan terbaik, malah berperanan sebagai institusi kebajikan dan pembangunan ummah. Ke arah APAI 2030, ianya bertujuan dapat melahirkan masyarakat Islam yang lebih sihat, produktif, dan berdaya maju dalam mengangkat Islam sebagai satu cara hidup.