Pengenalan Sekolah Islam Antarabangsa
Yayasan Islam Pulau Pinang
Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang lahir daripada komitmen Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dalam memperkasa pendidikan Islam bertaraf antarabangsa di negeri ini. Projek ini, yang telah mendapat persetujuan Lembaga Pengarah YIPP pada tahun 2013 bertempat di Lot 1090, Lintang Sungai Ara, Mukim 10, Daerah Barat Daya Pulau Pinang dan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, bertujuan menyediakan institusi pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik, sahsiah, dan penghayatan nilai Islam dalam satu ekosistem pembelajaran holistik.
Sebagai sebuah institusi yang menyokong aspirasi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang bakal menjadi pusat pendidikan berkelas dunia yang melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing, dan berakhlak tinggi. Dengan kemudahan lengkap termasuk 49 buah kelas, 10 makmal sains, makmal komputer, perpustakaan, auditorium berkapasiti 300 orang, serta ruang pembelajaran interaktif, sekolah ini akan menjadi hab pendidikan unggul di rantau ini.
Pembangunan sekolah ini juga selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam dan menyediakan akses kepada pembelajaran berkualiti tinggi. Dengan pendekatan berteraskan nilai Islam dan inovasi pendidikan, Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang diharap dapat melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga menjadi pemimpin berwawasan dan pemacu kemajuan ummah di peringkat global.

Yayasan Islam Pulau Pinang bakal mengorak langkah ke hadapan dalam penyediaan prasarana Pendidikan dengan menubuhkan sebuah Institusi Pendidikan iaitu Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang. Penubuhan Sekolah ini bakal menjulang nama Negeri Pulau Pinang di dalam arena Pendidikan yang mana Al Mashoor International Islamic School (AMIIS) ini bakal menjadi Sekolah Islam Antarabangsa yang pertama di Pulau Pinang dan di kawasan Wilayah Utara Malaysia.
Menjadi sebuah Sekolah Antarabangsa yang mengangkat sistem Pendidikan yang unik di mana bakal menjalinkan nilai nilai agama bersama sistem pendidikan bertaraf antarabangsa. Sekolah ini bakal menjadi sebuah pusat pengajian peringkat rendah dan menengah yang mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif serta melahirkan pelajar yang kritis, pembangunan sahsiah yang tinggi dan penyertaan secara global.
Menjadikan Cambridge International General Certificate Secondary Education (IGCSE) sebagai sistem utama yang diguna pakai merangkumi Pengajian Islam, Pengajian Akademik serta aktiviti kurikulum tambahan yang lain. Memberi penekanan kepada Pelajaran Al Quran, Kemahiran Bahasa Arab, Sejarah Peradaban Islam bersama-sama kurikulum yang selari dengan tahap pengajian bertaraf antarabangsa. YB. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah mengambil inisiatif dengan mencadangkan sekolah ini bakal beroperasi seawal Disember 2025.