𝗦𝗶𝗿𝗶 𝗜𝗻𝗳𝗼𝗺𝗮𝘀𝗶 𝗠𝗮𝘀𝗷𝗶𝗱 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗲𝗷𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗱𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴 𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗬𝗮𝘆𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴 (𝗬𝗜𝗣𝗣) …………………………………………………………………….. Nama Masjid : Masjid Tarik Air, Jalan Burmah Usia : Lebih kurang 141 Tahun Sejarah Ringkas : Masjid Tarik Air telah didirikan di atas tanah yang telah diwakafkan sebagai tanah wakaf masjid oleh Haji Mohd Salleh Al-Ashee yang dikatakan berasal dari Acheh. Masjid ini berada dalam kawasan Kampung Tarik Air. Masjid ini pada asalnya merupakan sebuah surau kayu kecil yang dirobohkan pada tahun 𝟏𝟖𝟖𝟎 sebelum terbinanya sebuah masjid konkrit di tapak yang sama. Sekitar tahun 𝟏𝟗𝟖𝟎-𝐚𝐧, Masjid Tarik Air mendapat sambutan yang agak baik dengan kehadiran ramai jemaah ke masjid tersebut. Pelbagai acara diatur untuk menghidupkan masjid ini termasuklah menjemput seorang penceramah agama iaitu, Ustaz Ali bin Md. Isa dari Pusat Pengajian Jarak Jauh (PPJJ), Universiti Sains Malaysia. Selain itu, kelas mengaji Quran bagi orang dewasa dan kelas tadarus yang diajar oleh Sibly Maros sendiri iaitu imam masjid tersebut. Kelas mengaji Quran ini tidak kekal lama setelah ramai penduduk kampung berpindah ke kawasan lain pada sekitar 1990-an. Kini, masjid ini tidak lagi mendapat sambutan yang menggalakkan dan oleh sebab itu, masjid ini hanya dibuka kepada jemaah pada waktu Maghrib dan Isyak. Masjid ini masih lagi bergerak secara persendirian di bawah pentadbiran Masjid Jamek Jalan Hatin. Sumber: Sejarah Masjid & Keramat di Pulau Pinang 1730-an – 2012 oleh Mahani Musa