𝗦𝗶𝗿𝗶 𝗜𝗻𝗳𝗼𝗺𝗮𝘀𝗶 𝗠𝗮𝘀𝗷𝗶𝗱 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗲𝗷𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗱𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴 𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗬𝗮𝘆𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴 (𝗬𝗜𝗣𝗣) …………………………………………………………………….. Nama Masjid : Masjid Al-Arab, Jalan Seang Tek Usia : Lebih kurang 123 Tahun Sejarah Ringkas : Masjid Arab dipercayai dibina pada penghujung abad ke-19. Hal ini berpandukan Deed of Conveyance yang bertarikh Januari 𝟏𝟖𝟗𝟖. Pengasasan Masjid Arab bermula apabila seorang pedagang bernama Sultansah bin Adamsah yang tinggal di Lebuh Chulia telah mewakafkan sekeping tanah (lot 325 T.S.XII, yang merupakan sebahagian daripada geran no. 72, 1794) untuk membina masjid bagi masyarakat Islam yang menetap di Kampung Limow Manis (di antara Jalan Melaka dan Jalan Seang Tek). Tahun pembinaan masjid ini tidak diketahui dengan jelas namun dipercayai masjid tersebut wujud pada penghujung abad ke-19 kerana semasa Deed of Conveyance 1898 dibuat, proses pembinaan masjid tersebut telah pun dimulakan. Masjid ini juga menjadi tempat berkumpulnya orang berketurunan Arab di Pulau Pinang sejak dekad 1930-an dan amalan ini masih kekal sehingga kini, terutamanya pada Hari Raya. Sumber: Sejarah Masjid & Keramat di Pulau Pinang 1730-an – 2012 oleh Mahani Musa #penang2030